Monday, January 10, 2011


Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamua'laikum warahmatullahi wabarakatuh...


alhamdulillah, biizniLLAH, akal masih berfungsi untuk mengukir secebis ilham, insya Allah memberi manfaat kepada yang membaca dan diri saya sendiri. insya Allah.


alhamdulillah, dengan izin Allah Yang Maha Esa, post kali ini adalah untuk berkongsi perihal sebuah buku yang berkesempatan saya baca baru-baru ini, insya Allah terkandung banyak manfaat bagi mereka yang mencari kebenaran. Tautan Hati tulisan Fatimah Syarha Mohd Noordin, seorang muslimah yang cukup saya segani. penggarapannya agak sederhana, tidak terlalu berat, menarik, dan pelbagai. infiniti terima kasih buat Allah Taala kerana saya antara yang terpilih membaca buku ini yang saya kira banyak menambah ilmu di dada. pengulasan yang berpandukan situasi dengan cara yang berhikmah, betul menyentuh hati saya. tahniah, kak Fatimah Syarha kerana menjadi antara insan yang dipilih Allah untuk berdakwah di jalan ini. teringin saya turut mengikuti jejak langkah beliau. moga dikurniakan yang terbaik dari Allah Taala.


baiklah, untuk menarik minat anda semua membaca buku ini, saya sertakan sedikit petikan daripada buku ini. total petikan ini dikreditkan kepada penulisan fatimah syarha.


Puteriku, tetaplah di jalan dakwah!

"Akan ada di kalangan umatku segolongan umat yang muncul berpegang kepada kebenaran. Mereka tidak di susahkan oleh sesiapa yang mengacuhkan mereka sampai datang perintah Allah, mereka tetap seperti itu." (riwayah Bukhari & Muslim)

Indah kalam Rasul Junjungan,
mengajar erti perjuangan,
perlukan keteguhan azam,
istiqamah, tetap pendirian,
jangan mudah terhalang,
janji Allah pasti datang!

Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya.
Rasul bermadah lagi,
satu janji, satu aspirasi,
Islam takkan dapat ditandingi,
cuma yang belum pasti,
adakah kita tinggi peribadi?
untuk memikul amanah suci,
bagi merebut pandangan Ilahi,
sebagai jiilul Quran yang tersendiri. (madah Hassan Al-Banna)

"Allahlah yang Maha Kaya sedangkan kamulah yang berkehendak (kepadaNya), dan jika kamu berpaling nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan seperti kamu ini." (surah Muhammad, ayat 38)

Ayat Allah cukup menggentarkan,
Dia tidak teragak-agak membuat tapisan,
buat hamba-hambaNya yang bermalas-malasan,
senantiasa mencipta alasan,
liat dengan dakwah dan peningkatan,
mahu diketuk berterusan,
tidak menjadi penggeraknya iman,
cinta Allah dibuat khayalan,
bimbang kelak diri akan terbuang,
daripada jalan dakwah, penuh ujian,
dibiarkan Allah dengan keasyikan,
tertipu dengan jalan kehancuran!

ketahuilah puteriku,
Allah memelihara jalanNya,
agar disusuri hati yang bersih,
sarat ketaqwaan,
merindui wajahNya,
jua keredhaan,
itulah jiwa insan pejuang,
bimbangilah sayangku,
daripada memiliki jiwa munafik,
bertopeng ketaatan.

- madah Dr. Asrar terhadap anaknya, Asiah Yusra - 286-287

 satu lagi puisi yang agak menarik perhatian saya untuk dikongsikan bersama. yang ini khas untuk rakan-rakan muslimah sekelian, =)

Bidadari

aku juga perempuan,
punya impian,
anggun dibalut perhiasan,
hidup bergermalapan,
bak artis pujaan.

ku ingin bermadah puisi,
bersyair dan menyanyi,
lincah menari,
menghibur dan menyeri.

namun,
aku bukan perempuan,
gopoh mengejar kemahsyuran,
di tempat persinggahan,
tiada berkekalan.

ku ingin kemuliaan abadi,
kemahsyuran hakiki,
bukan yang tiada erti,
bukan yang dimurkai Ilahi,
bukan di dunia ini,
tetapi di Taman Syurgawi,
inginku kekal sebagai bidadari.

- madah Asiah Yusra, Tautan Hati, 568-569

sekian, wallahualam...
moga perkongsian ini memberi manfaat kepada kita semua, moga kita semua sentiasa di bawah keredhaan Ilahi, amin...


Ya Allah, pimpin lah hati-hati kami menuju redhaMu. amin.


wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saturday, January 8, 2011

Zauj dan Zaujah ku...


Isi Hati Sang Ikhwah

Wahai zaujahku,
Aku mengerti di mana kamu,
Kamu sedang letih berjuang,
Kamu sedang lelah berdakwah,
Malah kau juga aku yakin sedang memelihara dirimu dari menjadi bahan fitnah.

Aku tidak tahu siapa kamu,
Tapi telah aku simpankan sebahagian hati ini padamu,
Kerna itu, aku tidak pernah memandang wanita lain,
Pandanganku ku tundukkan, bual bicara mesra dengan wanita ku elakkan,
Kerna semua itu hanya layak untukmu.

Yang ada di sisiku Ayat-Ayat Cinta Allah iaitu Al-quran.
Yang ada di sisiku kitab-kitab ilmu yang menjadi pencerahan dalam kehidupan kita nanti.

Zaujahku,
Persiapkan dirimu dengan ketabahan hati,
Kerna jalan yang akan kita lalui ini sangat berat,
Maka tabahkanlah hatimu untuk menjadi sayap kiriku,
Isilah mana-mana kekurangn dalam diriku,
Dan engkau jualah yang aku harapkan menjadi pembakar semangatku tika mana aku lemah.

Zaujahku, aku belum pernah memandang fizikalmu,
Kerana nikmat memandangmu hanya aku inginkan setelah kita diijab kabulkan,
Dan pandanganku terhadapmu bukanlah pandangan nafsu,
Sebaliknya dengan pandangan dakwah,
Kerna kau adalah sayap kiri perjuanganku dan pencetak generasi mujahidin.

Kerana itu,
Kita seharusnya bersedia zaujahku,
Perkahwinan kita adalah marhalah dakwah.



Dari Sang Akhwat

Wahai zaujku,
Aku mengerti kau sedang menungguku,
Aku mengerti kau merinduiku,
Namun segalanya kau tundukkan kerna kau tidak mengenal siapa aku.

Aku tau kau sedang berjuang,
Kau sedang lelah berdakwah,
Ke sana sini dengan pelbagai program dakwah,
Sehingga kadang kala kau merasa lemah.

Namun sabarlah,
Aku sedang menunggumu,
Aku juga sedang letih seperti kamu,
Kerana setianya padaku,
Aku menolak untuk terlibat dengan mana-mana aktiviti yang mengundang maksiat hati,
Aku menolak bicara dan pelawaan mana-mana yang bukan mahramku,
Kerana perasaanku telah aku simpankan untukmu,
Walaupun aku tidak tahu siapakah kamu.

Zaujku,
Persiapkanlah dirimu dengan ilmu,
Kerna, aku mendambakan seorang zauj yang mampu mendidikku dan anak-anak kita nanti, Bukan paras rupa semata-mata.

Didiklah aku agar sentiasa tegar dalam mujahadahmu.

“Ya Allah, kami saling merindui, namun kami tidak pernah mengenal antara satu sama lain, oleh kerana Kau telah menutup pandangan kami dengan hijab yang sangat tebal. Namun, kami yakin Engkau menghijab kami agar kami sentiasa melengkapkan diri dengan segala bekal yang diperlukan. Kami memohon agar hijab di antara kami segera terbuka bila mana kami benar-benar bersedia. Pernikahan kami adalah marhalah dakwah dan kasih sayang antara kami hanyalah satu..Menuju redhaMu” ...



Friday, January 7, 2011

::FINAL PROJECTS !::

Bismillahirrahmanirrahim...

    apa khabar iman kita hari ini? semoga semuanya baik-baik saja. :)

  erm,, kali nie nak cakap sal task baru. life sbg student architecture mmg challenging. kalau student course laen, hampir setiap mase mengadap buku, hafal formula, buku tebal2. student architecture(AED) laen plak ceritanya. bila task baru dapat, mula la runsing pikirkan design ape nk dibuat, duit nak bli barang, n xcukup tido la jawabnye.

 pejam celik pejam celik da final sem pon.. final project pon da dapat. agak tough. pernah jugak rase down bila tengok hasil kerja orang laen lg hebat. tapi takpe lah, setiap orang tu ada kekurangan dan kelebihan masing2, kan? untuk projek terakhir nie, semoga Allah bagi kekuatan dan kemudahan tuk buat yang terbaik dari task2 sebelumnya.. syukran kathiir untuk umi abah yang terus n sentiasa bagi support dari mula2 masuk sini sampai final sem da, utk sahabat2 tersayang, n tak lupa jugak tuk studiomaster n studiomates.. :)










    akhir kalam, good luck tuk semua budak budak AED! Barakallahufiik ~~

SUBMISSION DATE GRAPHIC COMMUNICATION: 31/01
SUBMISSION DATE ENVIRONMENTAL DESIGN(ED):27/01

Thursday, January 6, 2011

:. Bantuan Allah .:


Kerap kali hati ini merintih lemah meminta dan mengharapkan daripada Allah swt. Sesungguhnya sangat banyak cabaran yang telah dilalui dan kadangkala ianya seperti memaksa kita untuk meninggalkan jalan ini. Nauzubillah.



Inilah fitrah kita selaku makhluk yang bernama manusia. Tidak pernah lekang dengan sifat cuai kerana kita bukanlah diciptakan sempurna. Mungkin selama ini kita terasa kuat dalam menghadapi mehnah pada jalan ini tetapi akan tiba suatu masa kita akan dikunjungi perasaan lemah dan malas yang akan menusuk hati kita secara perlahan-lahan. Ketika itu hati akan mula memberontak dan akhirnya dengan mudah syaitan laknatullah menjalankan misi mereka untuk menarik kita mengikuti jalan toghut.

Sebagai seorang pejuang dalam agama ini, kita seharusnya bergembira dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah:

Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, Sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. (Al-Baqarah:214)

Dalam ayat tersebut Allah menyatakan ujian yang diberikan adalah untuk menjadi bukti bahawa para pejuang kebenaran ini adalah seorang yang benar-benar beriman dan ikhlas berjuang hanya kerana ingin menggapai mardhotillah. Inilah hakikat perjuangan, tiada erti senang lenang di dalam kamus hidupnya, yang ada dalam catatan hariannya cumalah perkara yang perit dan penuh dengan pengajaran untuk dibawa sebagai bekalan menempuh hari-hari mendatang yang menjanjikan seribu kesukaran lagi.

Tetapi, walaupun begitu susah perjuangan ini, mereka tidak semudah itu untuk mengalah. Lihat sahaja kisah Bilal bin Rabah, Mus’ab bin Umair dan Khabab yang dikurniakan dengan ujian yang menggetarkan iman, tetapi kerana keimanan yang tinggi kepada Allah, maka mereka diberi keistimewaan berada disamping Allah.

Ayuh pejuang!!! Bangkitlah dari kelemahan diri ini, ingatlah bahawa ujian itu sebagai mahar yang perlu dibayar untuk mendapatkan syurga dan semoga jerih lelah kita menunaikan mahar ini akan menjadi sirna ketika berhadapan dengan Allah kelak.

Perjuangan ini penuh onak duri dan segala macam rintangan, tetapi walaupun rintangan itu setinggi langit, ingatlah bahawa Allah sentisa berada di sisi kita.

mohon pertolonganMu Ya Rabb.. permudahkan perjuanganku..kuatkan hatiku yang lemah ini.. 

Wednesday, January 5, 2011

Berubahlah, diri!





Dalam damai, teratak sepi. Menjelma pertanyaan menyentap hati. Bermainlah pilu sang isteri. Membelai pipi permata suci.

"Ummi, di manakah abi?"

Bergetarlah bibir mencari. Perlukah ku kisahkan, apa yang terjadi? Pada si kecil yang ingin mengerti.

"Sayang Abi, kekasih Ummi, pergi mencari cinta ilahi..."

****

Israel, kamu silap! Seandainya kamu rasa umat islam lemah, dan boleh ditindas sesuka hati. Kami, kamilah pemuda yang akan kembali menjadi Sayyidina Umar membuka kota Baitul Maqdis! Kami lah Salahuddin Al-Ayyubi yang akan meragut jantung kekejaman kamu. Merobek nista yang kamu tanam. Menghancurkan onar yang kamu cambahkan.

Kami sedang bersiap, membawa Islam yang akan mengembalikan senyuman manusia kembali.

Ingat Khaibar wahai Yahudi!

Kami, tentera Muhammad telah datang!

****

Palestin bukan sekali dua diserang. Bukan kadang-kadang maruah telah diperkosa. Bukan kadang-kala kehormatan diinjak-injak. Serangan pencabulan Frotilla keamanan. Itu bukan yang pertama!

Lalu, sampai bila kita perlu terleka. Seronok dan hanyut?

9 April 1948

Pemunuhan kejam militan Yahudi oleh kumpulan Hajnah dan Argun. Mereka membunuh dengan rakus 250 orang Islam di Dir Yasin, yang 100 orang darinya wanita diserang.

Penduduk yang masih hidup pula, diangkut dengan trak di hadapan penduduk Yahudi untuk dilontarkan dengan batu.

14 Mei 1948

50 orang umat Islam di Kampung Abu Syasyah dibunuh dengan kejam.

Sebahagian ditembak dengan senjata api. Sebahagian dikapak kepala mereka.

29 Oktober 1948

Pembunuhan di luar rangka sifat manusia. Tentera Israel menyuruh penduduk 'Albiyyun berkumpul di kawasan lapang.

Sesudah berkumpul,

Penduduk di tembak dari semua arah.

****

Apa tindakan kamu?

Setelah habis carik bendera Israel di koyak. Penat suara marah melaungkan amarah. Apa perubahan pada diri kamu? Diri kita.

Bertambahkah helaian al-quran dalam hari-harimu?

Lalu, adakah akhlaq kamu kian baik dalam menuju muslim yang sejati? Telah dibuang hancur sikap mazmumah?

Hurm, macamna dengan ilmu? Banyakkah buku yang telah ditelaah?

Atau...

Memang Salahudin Al-Ayyubi dulu juga sikapnya sama macam kita sekarang, ketika membuka kota Palestin dulu. Kan?Kalau tidakpun, kita dengan sikap dan perangai begini lah yang akan memimpin ummah, dan menyelamatkan Palestin dari cengkaman Zionis.

Masih dengan lalai drama melayu yang tiada batas.

Akademi Fantasia yang memang penuh dengan Fantasi.

Seronok dengan masa lapang yang penuh nikmat. Membuang masa tanpa sebarang perkara yang berfaedah.

Sibuk, sibuk sangat dengan perasaan yang selalu haru tak menentu. Melayan 'teman' di sana. Atau masih berpusing-pusing dengan hati yang selalu terasa pada rakan-rakan seperjuangan. Sensitif yang amat.

Sama, dan tak berubah.

****

28 Oktober 1956

Tarikh ini, Ariel Sharon dan 19 orang tentera Yahudi menunjukkan kejahatan yang amat dahsyat kepada Kufru Qasim.

Rejim Israel mengisytiharkan perintah berkurung bermula jam 6.00 petang. Para petani keluar ke tempat kerja masing-masing dan bercadang pulang lebih awal bagi mengelak melanggar peraturan.

Tetapi,

Pada jam 4.45 petang. (Ketika petani-petani masih berada di ladang mereka), pihak rejim mengisytiharkan pula perintah berkurung bermula jam 5.00 petang.

Apabila petani pulang pada jam 5.30-5.45, dua orang pegawai bersama 19 orang tentera Israel sudah bersedia di jalan masuk kampung berkenaan dan mereka terus melepaskan tembakan ke arah petani.

Mereka yang berhati syaitan membunuh.
57 terbunuh, seorang adalah kanak-kanak, dan 17 adalah wanita. 27 cedera.

16 September 1982

Seandainya ada perkataan yang lebih teruk dari 'kejam'. Maka itulah yang berlaku di Sabra dan Syatilla.

3 hari berturut-turut tentera Israel pimpinan Ariel Sharon membunuh lebih 3000 orang Islam termasuk kanak-kanak dan wanita. Ada yang ditembak, ada yang dipancung kepala.

Bagi mengaburi mata masyarakat antabangsa, mahkamah tentera telah membicarakan kes ini. Dan mereke yang didapati bersalah didenda sebanyak,

14 sen (USD) sahaja.

19 tahun kemudian (2001). Ketua pengganas dalam tragedi ini, Ariel Sharon menjadi Perdana Menteri Israel.

****

Ayuh sahabat, kita tingkatkan diri.

Bukankah mati itu pasti? Sangat pasti. Cuma sama ada kita mati kerana kemalangan, kerana sakit. Ataupun kerana pergaduhan, kerana terhentinya nafas.

Tidak ada yang boleh berubah. Kita menuju ke arah masa kematian kita. Walaupun kamu tak mahu.

Seandainya cara kematian itu boleh dipilih, saya mahu dan lebih suka memilih syahid di jalan Allah!

InsyaAllah.

****

Tinggalkan sekejap.

Tinggalkan sebentar semua yang mengganggu. Yang mengusik ketika kita dalam perjalanan menuju Allah.

Lawan nafsu, lawan sampai ke akhirnya.

Bayangkan,

Semasa satu dunia sedang sibuk berperang. Dan tentera Islam sedang dalam barisan yang teratur dan rapi bersedia menggempur musuh. Kita masih lagi terkial-kial. Mencari kekuatan iman. Atau pun kelam kabut bangun dalam keadaan yang terpinga-pinga mencari kedudukan ketika lalai di belakang. Sedangkan semua sudah berada di depan mempertahankan Islam.

Tertanya-tanya apa yang sedang berlaku. Lalu, ditinggalkan begitu.

Kita tak mahu begitu.

Ayuh bangkit!

Melakar diri.

Bila lihat Palestin diserang. Ibu-ibu dirogol dengan ketawanya jahat hati mereka. Dan anak-anak dan adik-adik yang berlubang perut dirobek senjata.

Bila lihat, kita bina jadual ibadah kita. Kita ikut, agar terus menjadi mukmin yang kuat.
Bila baca dan benci, Kita tambahkan ilmu-ilmu kita. Agar kita mampu melawan mereka.

Takbir! Allahuakbar.

Bila dengar, rasa dan marah. Kita lawan nafsu. Perasaan leka dan selesa yang membuai kita sekarang.

Kadang-kadang kita rasa sukar untuk boikot. Susah sangat. Tak mengapa, kita cuba. Selagi mana yang mampu. Selagi ada yang terdaya. Walaupun sikit. Kan masih banyak pilihan?

Tambahkan ilmu kita dengan kitab-kitab sirah nubuwwah. Buku-buku Palestin. Serta kitab-kitab haraki. Moga hati kita senantiasa tetap dan berkobar dalam jihad.

Teruskan, banyakkan membaca al-quran. Teruskan, tingkatkan iman setinggi-tingginya. Kita lah, kita yang akan maju sebagai pemuda yang akan menjulan tinggi panji Islam!

****

Al-muddaththir.

Wahai orang yang berselimut! 

Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia).

Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya!

Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.

Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi.

Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya.

Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!

(1-7)

****

"Tidurlah sayang.."

Dodoikan bersama zikir mendamaikan.

"Bangunmu esok... Menjadi pejuang, mujahid sepanjang zaman...."

Monday, January 3, 2011

:. WARKAH HIJRAH .:



Tatkala aku mencoret nukilan ini,
Pintaku pada ArRahman, diampunkan segala penyakit hati,
Dan atas segala kekhilafan diri.
Di saat Allah masih mengizinkan udara memenuhi nafas,
Badan mengandung nyawa, dan lisan untuk melafaz,
Aku memilih menutur bicara menerusi warkah cinta untuk makhluk indah dicipta Tuhan,
Dari Hawa untuk Hawa, iaitu kamu yang seperti diriku.


Kamu yang seperti diriku, 
Tidak kunafi, kamu cantik, 
Lakaran terindah ciptaan Tuhan,
Menawan dan memikat hati sesiapa yang memandang,
Terutama pada pandangan mata sang Adam.
Namun, tika mata mereka tertegun dengan lenggok tubuhmu yang terdedah,
Lalu rambutmu menghias mimpi-mimpi mereka,
Hatiku terselubung rasa hiba,
Kerana rasa sayang dan cinta,
Bukan kerana daku cemburu, 
Tetapi antara kitalah ramai ke neraka, 
Yang aku pasti tak terjangkau seksanya,
Yang sudah pasti berjuta kali ganda panasnya,
Dibanding dengan marak api di dunia.


Kamu yang seperti diriku, 
Aku pernah di tempatmu, 
Detik ketika aku bebas berpakaian, dan berteman,
Bahagia dengan hiburan dan pujian, 
Bangga mempamer perhiasan,
Padahal yang sebenarnya ia milik Tuhan.
Aku tahu tentang aurat, dosa, dan pahala, 
Namun dalam kamus duniaku ia tiada mengandung makna.
Bukanlah aku tidak fahami tentangnya, 
Namun seakan mahu tidak memahaminya, 
Kerana itu pilihanku..


Tuhan ternyata sayang, 
Mahu aku pulang, melalui satu peringatan,
Bahawa KekasihNya menangis, wahai kamu yang seperti diriku..
Rasulullah yang kasihkan umatnya itu menangis…
Kerana diperlihatkan segolongan dari kita menanggung dahsyatnya azab di akhirat sana..


Segolongan antara kita ada yang tergantung rambutnya dan otaknya menggelegak,kerana tidak menutup rambut, 
tergantung lidahnya kerana memaki dan menyakiti hati suaminya,
memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka,
kepalanya seperti babi dan badannya seperti himar kerana mengumpat dan mendusta,
berupa seperti anjing kerana membuat fitnah dan membenci suaminya,
dan banyak lagi, yang tidak mampu kuteruskan bacaan kerana gentarnya diriku wahai dirimu..
Nauzubillahi min zalik,Aku memohon dari perkara sebegitu berlaku ke atas kita..


Wahai dirimu yang seperti diriku, 
Apakah kamu tidak gentar seperti diriku?
Tentang pembalasannya yang tak tertanggung
Sedangkan pintu kebaikan mampu kita cari,
Kerana janjinya,Allah memudahkan kita ke syurga…


Wahai dirimu yang seperti diriku, 
Dan kini, aku tahu dan kamu tahu,
Istighfarlah..
Lalu jangan didustakan lagi tentang apa yang kamu kini tahu,
Buanglah sejauhnya segala jahiliah diri,
Kembalilah dengan satu hati yang suci,
Tanda hijrah hamba yang sejati.




Dari, 
DIRIKU, insan lemah yang mencintai DIRIMU..

PANTASNYA !



Bismillahirrahmanirrahim.

1 Januari 2010 sehinggalah ke tarikh hari ini, pelbagai kisah dan memori yang terlakar. Sudah pasti ada ketawa dan ada juga selingan yang diiringi dengan air mata gembira dan duka. Alhamdulillah, hijrah setiap hari bukan sahaja azam setahun sekali tetapi disusuli dengan usaha dan terus berusaha meskipun selalu tersadung dan sering pula jatuh tersungkur ke bumi :) masayaallah .

"Mana-mana hamba Ku yang melakukan maksiat kemudian bertaubat maka akan Ku ampunkan dosanya, apabila dia mengulanginya dan bertaubat maka akan Ku ampunkan dosanya, apabila dia mengulanginya dan bertaubat maka Ku ampunkan dosanya." -hadith qudsi

Tiada yang sempurna melainkan Allah, kesempurnaan bukanlah milik insan tetapi berusaha untuk menyempurnakan kekurangan diri dengan memperbaiki diri ke arah kebaikan itulah yang perlu ditekankan. Biarpun bukan yang terbaik tetapi kita sudah berusaha melakukan yang terbaik, insya Allah.
Carilah hikmah dalam setiap  ketentuan TUHAN, supaya timbul KESABARAN dan KESYUKURAN, setiap yang payah pasti ada KESENANGAN, setiap kesabaran pasti ada GANJARAN. Jika sesuatu itu ditakdirkan untuk kita, tiada siapa yang boleh memberi HALANGAN. Namun, jika ia ditakdirkan bukan untuk kita pasti takkan dimiliki walaupun sudah berada dalam GENGGAMAN.

Belajar dan terus belajar untuk menjadi manusia yang matang dan muslim yang lebih baik.. insyaallah.

Bersamalah kita berhijrah kearah kebaikan dalam mencari redhanYa. Menjadi hamba yang taat, berusaha menjadi khalifah yang sentiasa ikhlas dalam menghadapi setiap ujian daripadaNya., berjihad sehingga titis darah yang terakhir. Subhanallah.

2010 yang telah meninggalkan kite mudah mudahan menjadi titik tolak buat kita untuk bangkit dari setiap kelemahan dan terus gigih untuk bangun kembali. Semuga segala kesilapan dan kekhilafan yang pernah dilakukan dijadikan ibrah untuk diri sendiri dan penyuluh untuk meniti hari hari mendatang.

Akhir kalam, sama smalah kite doakan mudah mudahan lembaran baru ini member peluang seluas luasnya untuk kite mencari rahmat dan keredhaanNya. Amiin ... J